Blog Hartanah

Artikel berkaitan hartanah

3 Kos Jual Rumah Yang Perlu Anda Tahu

Menjual rumah tidak sama dengan menjual barangan atau aset yang lain. Ini kerana menjual rumah akan melibatkan kos yang perlu dibayar oleh tuan rumah dan keuntungan hasil penjualan rumah akan diterima selepas 4 ke 6 bulan.

Oleh itu tuan rumah perlu merancang dan fahamkan prosedur jual rumah supaya objektif penjualan rumah dapat dicapai dalam tempoh masa yang ditetapkan. Dan dapat keuntungan hasil jual rumah mengikut jumlah yang diperlukan.

Aset yang memerlukan masa yang lama untuk dilupuskan dan ada kos yang terlibat

Rumah adalah aset yang sukar dicairkan atau dilupuskan. Ianya memerlukan tempoh masa yang lama dan ada kos-kos yang terlibat.

Di bawah adalah 3 Kos Jual Rumah yang setiap tuan rumah perlu tahu sebelum buat keputusan untuk menjual rumah mereka.

1. Kos Ejen Hartanah

Melantik ejen hartanah berdaftar adalah pilihan bukan satu kemestian. Tetapi tidak semua orang tahu nak jual rumah sendiri mengikut prosedur yang betul.

Berdasarkan pengalaman saya, ada tuan rumah yang cuba menjual sendiri akhirnya terkapai-kapai kerana tidak tahu prosedur jual beli rumah. Antara masalah yang dihadapi apabila cuba jual rumah sendiri seperti duit penjualan tak dapat atau dapat lewat, harga jual yang terlalu rendah, tak dapat deposit rumah, hal berkaitan peguam dan macam-macam lagi.

Jual rumah bukan sekadar iklan di Mudah.my atau pun facebook sahaja…

Jual rumah bukan sekadar buat iklan di Mudah.my dan facebook sahaja. Ada banyak perkara yang perlu dilihat seperti status dokumen hakmilik atau geran, demand dan supply, prosedur jual beli, loan bank, peguam hartanah dan macam-macam lagi.

Sehubungan dengan itu ramai tuan rumah melantik ejen hartanah berdaftar bagi menguruskan penjualan rumah.

Antara skop tugas ejen hartanah ialah menasihati tuan rumah secara profesional dalam penjualan rumah, kajian harga pasaran dan harga jualan rumah, pengiklanan, bawa klien tengok rumah, proses nego harga dan syarat jual beli, permohonan loan bank, lantikan peguam hartanah dan banyak lagi.

Kos ejen hartanah hanya 3% daripada harga jualan rumah. Dan kos ini tak perlu bayar guna duit poket sendiri tetapi ditolak daripada deposit yang pembeli akan bayar nanti. Pastikan anda melantik ejen hartanah yang berdaftar dengan LPEPH dan pakar bagi kawasan rumah anda.

2. Peguam Hartanah

Selain ejen hartanah berdaftar, orang yang agak penting dalam penjualan rumah ialah peguam hartanah.

Peguam hartanah akan menyediakan surat perjanjian jual beli atau sales purchase agreement (SPA), surat perjanjian pembiayaan bank, tukar hakmilik dan sebagainya.

Peguam perlu meneliti segala terma perjanjian supaya mengikut prosedur dan undang-undang berkaitan jual beli rumah.

Sebagai tuan rumah boleh juga tidak melantik peguam hartanah sebaliknya menumpang peguam pihak pembeli. Ini memang dapat memberi penjimatan kepada tuan rumah tetapi tiada peguam yang mewakili tuan rumah dalam perjanjian jual beli.

Tuan rumah boleh lantik Peguam Hartanah sendiri atau menumpang peguam pembeli.

Berdasarkan pengalaman saya, ada tuan rumah yang menumpang peguam pembeli pada awalnya. Tetapi apabila ada masalah baru rasa menyesal sebab tidak melantik peguam hartanah sendiri.

Walaupun kelihatan sebagai kos tambahan, perkhidmatan peguam hartanah adalah penting untuk melindungi kepentingan tuan rumah dan seterusnya dapat menjamin proses penjualan berjalan lancar.

3. Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT)

Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) adalah cukai yang dikenakan apabila menjual rumah bagi tempoh pegangan sehingga 5 tahun.

CKHT dikenakan ke atas keuntungan yang diperoleh oleh tuan rumah. CKHT berbeza mengikut tempoh pegangan dan cukai maksima adalah 30%.

Bagi pengiraan CKHT ini, beberapa dokumen penting perlu disediakan seperti surat perjanjian jual beli rumah (SPA), resit renovation rumah dan sebagainya.

Di Malaysia, setiap orang boleh memohon pengecualian CKHT sekali seumur hidup.

Kesimpulan

Jual rumah bukan perkara yang mudah dan memakan masa yang panjang. Ia juga melibatkan ramai pihak dan kos.

Sekiranya anda berhasrat nak jual rumah dalam masa terdekat, sila masukkan 3 kos di atas dalam pengiraan keuntungan penjualan rumah anda. Pastikan anda melantik ejen hartanah berdaftar yang pakar bagi kawasan rumah anda dan peguam yang berpengalaman.

Semoga urusakan penjualan rumah anda dipermudahkan.

Ejen Hartanah Berdaftar at IQI Realty | 0102261701 | Website | + posts

Ejen Hartanah Berdaftar, Perunding Kewangan Islam (FAR, IFP), Co-founder IQI iRealty Group

Leave a Reply

Your email address will not be published.