Blog Hartanah

Artikel berkaitan hartanah

Cara Jual Rumah Bagi Pasangan Bercerai

Perceraian bukan perkara yang mudah bagi sesetengah orang. Ianya memberi kesan yang besar dan menuntut kesabaran yang tinggi.

Perceraian bukan sekadar memutuskan hubungan pasangan suami isteri, tapi ia turut terkait dengan hubungan anak, mak ayah mentua dan hubungan kekeluargaan yang lain.

Dan ada yang terlepas pandang di mana penceraian juga memberi kesan kepada pemilikan harta seperti rumah, kereta, wang sara hidup dan sebagainya. Dalam tulisan ini saya hanya menyentuh dalam isu milikan harta iaitu harta sepencarian bagi pasangan bercerai.

Penceraian juga memberi kesan kepada rumah yang dibeli selepas perkahwinan

Dalam Islam, perkahwinan itu amat dituntut. Setiap pasangan mengimpikan kebahagiaan, membina rumah tangga sebaik mungkin dengan kehadiran cahaya mata, mengumpul harta dan berusaha mendapatkan rumah besar dan selesa.

Tetapi langit tidak selalunya cerah. Ada pasangan yang terpaksa mengambil keputusan untuk bercerai dengan pelbagai alasan.

Bercerai bukan menyelesaikan semua masalah. Malah ada masalah baru yang hadir pula.

Ada pasangan yang telah bercerai terpaksa membayar loan bank gara-gara membeli rumah secara bersama sebelum ini. Dah bercerai, tak duduk di rumah itu tetapi kena juga bayar loan bank.

Perlu diketahui, penceraian bukan bermakna bayaran bank tidak perlu dilunaskan lagi. Bayaran bank mesti diteruskan seperti biasa. Jika tidak rumah tersebut akan dilelong oleh bank

Sudah banyak pasangan bercerai tidak membayar loan bank dan akhirnya rumah tersebut dilelong.

Bagaimana kalau tiada nama dalam geran rumah?

Bagi yang tidak ada nama dalam geran, kerisauan yang timbul adalah berkenaan hak harta sepencarian. Risau bekas pasangan jual secara senyap-senyap pula nanti.

Bagi kes seperti ini, bekas pasangan boleh masukan kaveat untuk elakkan rumah tersebut dijual tanpa mendapat persetujuan anda.

Oleh itu di bawah adalah Cara Nak Jual Rumah Bagi Pasangan Yang Bercerai.

1. Bincang Untuk Jual Rumah

Pada dasarnya proses jual rumah sama sahaja bagi semua orang tak kira untuk penceraian, harta pusaka, kematian dan sebagainya. Cuma untuk kes penceraian, ada sedikit proses tambahan yang perlu dilalui oleh pasangan bercerai.

Walaupun sudah bercerai dengan pelbagai sebab, persefahaman diperlukan untuk memudahkan proses penjualan rumah.

Berdasarkan pengalaman, ada kes yang mudah diuruskan dan ada juga kes sukar diuruskan. Ada juga kes yang saya tarik diri kerana tiada kerjasama yang baik di antara pasangan bercerai.

Masalah yang timbul apabila perbincangan dibuat, mesti ada je pertengkaran berlaku, bekas pasangan tidak memberi respon yang baik, bekas pasangan tidak setuju untuk jual dan sebagainya.

Impaknya, masing-masing pada hujung bulan kena bayar installment bank dan lebih pedih lagi tiada siapa yang tinggal di rumah tersebut.

Sekiranya perbincangan dapat dilakukan dengan baik, proses penjualan rumah lebih mudah dan akan menguntungkan kedua-dua pihak. Dan kos untuk menjual rumah lebih mudah.

2. Dapatkan Perintah Mahkamah

Jika perbincangan gagal mencapai kata sepakat untuk menjual rumah, langkah seterusnya ialah mendapatkan perintah mahkamah bagi menjual rumah tersebut.

Bekas pasangan berkeras tak nak jual rumah?

Khidmat peguam diperlukan bagi mendapatkan perintah mahkamah ini. Dan ini melibatkan kos seperti kos peguam dan kos mahkamah serta memerlukan masa sehingga perintah mahkamah dikeluarkan. Perbincangan secara baik boleh mengelakkan proses ini dan dapat menjimatkan kos.

Oleh itu apabila perintah mahkamah ini telah dikeluarkan, setiap pasangan bercerai kena patuh kepada perintah mahkamah.

3. Lantik Ejen Hartanah Sebagai Orang Tengah

Cara paling baik ialah lantik ejen hartanah berdaftar bagi menguruskan penjualan rumah tersebut. Pastikan anda melantik ejen hartanah yang mahir di kawasan rumah anda. Lagi bagus anda melantik ejen hartanah yang pernah menguruskan penjualan rumah bagi pasangan bercerai.

Dengan adanya ejen hartanah sebagai orang tengah, komunikasi dan proses penjualan rumah lebih mudah dan teratur. Ini sekaligus dapat kurangkan konflik antara bekas pasangan.

Ejen hartanah profesional boleh mengurangkan konflik bagi pasangan bercerai

Dalam masa yang sama ejen hartanah juga akan memberi nasihat profesional mengenai harga pasaran semasa dan strategi pemasaran yang sesuai untuk menjual rumah tersebut.

PERCUMA Untuk anda

  1. Semak market value & dapatkan harga jualan terbaik.
  2. Penerangan Prosedur Jual Rumah melalui ZOOM (30 minit)

Apabila melantik ejen hartanah, segala proses akan diuruskan seperti iklan & pemasaran, bawa pembeli melihat rumah, permohonan loan bank, pemilihan peguam hartanah dan sebagainya.

Dengan adanya ejen hartanah, anda tidak perlu pening kepala tahu prosedur jual rumah dan dalam masa yang sama menagih kerjasama daripada bekas pasangan.

Bagi melancarkan proses penjualan rumah, sila sediakan dokumen penting berkaitan rumah seperti surat perjanjian jual beli rumah (SPA), loan agreement, dokumen hakmilik atau geran rumah, cukai, bil utiliti dan sebagainya.

4. Lantik Peguam Hartanah

Dalam proses penjualan rumah, tuan rumah tidak wajib untuk melantik peguam hartanah sendiri. Tuan rumah boleh menumpang peguam pembeli dan ini dapatkan menjimatkan kos.

Tetapi bagi kes penceraian, saya lebih suka mencadangkan pasangan yang bercerai melantik seorang peguam hartanah untuk mewakili tuan rumah atau vendor.

Dengan ini peguam akan mewakili pihak tuan rumah dan melindungi kepentingan tuan rumah dalam penjualan rumah.

Dan yang paling penting pasangan yang bercerai perlu maklumkan berapa peratus pembahagian keuntungan kepada pihak peguam. Nanti pihak peguam akan menyediakan undertaking letter untuk ditandatangan oleh kedua-dua pasangan.

Kesimpulan

Menjual rumah bagi pasangan bercerai memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Sekiranya tiada kerjasama yang baik, anda perlu melantik ejen hartanah sebagai orang tengah untuk menguruskan penjualan rumah. Dan penting untuk melantik ejen hartanah yang tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Sekiranya gagal mendapat kata putus untuk jual rumah maka pasangan bercerai boleh melantik peguam bagi mendapatkan perintah mahkamah. Ini akan melibatkan kos seperti kos peguam dan kos mahkamah.

Dapatkan kata putus berkenaan pembahagian keuntungan bersih hasil penjualan rumah. Tolak siap-siap kos-kos penjualan rumah dan serahkan kepada ejen hartanah dan peguam hartanah untuk menjual rumah tersebut.

Semoga penjualan rumah anda dipermudahkan.

Ejen Hartanah Berdaftar at IQI Realty | 0102261701 | Website | + posts

Ejen Hartanah Berdaftar, Perunding Kewangan Islam (FAR, IFP), Co-founder IQI iRealty Group

Leave a Reply

Your email address will not be published.