Blog Hartanah

Artikel berkaitan hartanah

Panduan Lengkap Cara Sewakan Rumah Menggunakan Ejen Hartanah

Semua orang tahu dengan sewakan rumah boleh menghasilkan pendapatan tambahan. Dan yang paling menarik hasil pendapatan duit sewa rumah akan digunakan untuk bayaran pembiayaan bank. Nampak menarikkan??

Beli rumah tapi penyewa yang tolong bayarkan loan bank. Indahkan??

Tapi tak semua cerita berkenaan rumah sewa ini indah. Pasti ada pengalaman ngeri yang dialami oleh tuan rumah seperti tunggakan bayaran sewa, rumah rosak teruk, rumah dijadikan makmal proses bahan terlarang, jadi markas perjudian dan sebagainya.

Apabila masalah datang bertimpa, tuan rumah pasti akan stress sebab kena menanggung kerugian yang timbul. Ada juga yang serik untuk uruskan rumah sewa dan buat keputusan untuk menjual rumah.

Daripada lensa ejen hartanah berdaftar, kebanyakkan masalah berkaitan rumah sewa ini timbul gara-gara tuan rumah sewakan rumah tidak mengikut prosedur sewa rumah yang betul.

Di bawah adalah panduan atau cara sewakan rumah yang betul dengan mengunakan ejen hartanah berdaftar.

Lantik Ejen Hartanah Pakar Di Kawasan Anda

Perkara pertama yang penting adalah lantik ejen hartanah yang mahir dan berpengalaman di kawasan rumah anda.

Buat carian ejen hartanah yang boleh menguruskan rumah sewa anda. Tanya beberapa soalan berkenaan pasaran rumah sewa di kawasan anda. Dapatkan pandangan ejen hartanah tersebut berkenaan harga sewa semasa di sana.

Sekiranya memenuhi kriteria sebagai ejen hartanah berdaftar yang berpengalaman, boleh set masa untuk berjumpa bagi proses seterusnya.

Prosedur Sewa Rumah

Ingat, banyak tuan rumah hadapi masalah dengan penyewa sebab tak ikut prosedur sewa rumah yang betul. Antara tiada surat perjanjian sewaan antara tuan rumah dan penyewa, tiada deposit sewa, deposit tak cukup dan macam-macam lagi.

Oleh itu minta ejen hartanah terangkan lebih lanjut berkenaan prosedur sewa rumah dan tanya pelbagai soalan supaya segala risiko sewa rumah dapat dielakkan.

Ejen hartanah yang profesional akan menerangkan prosedur sewaan yang betul. Menjadi tanggungjawab ejen hartanah bagi melindungi kepentingan tuan rumah apabila mendapat lantikan bagi menguruskan transaksi sewa rumah tersebut.

Bawa Bakal Penyewa Tengok Rumah

Seterusnya ejen hartanah akan buat inspection rumah sewa tersebut sebelum mencari penyewa.

Setiap penyewa perlu atau wajib untuk melihat sendiri rumah tersebut bagi mengelakkan masalah berbangkit. Sebarang keperluan atau permintaan untuk baiki kerosakkan perlu disampaikan kepada ejen hartanah semasa melihat rumah tersebut.

Sekiranya semua berpuas hati, bakal penyewa boleh menyatakan hasrat untuk menyewa rumah tersebut dan mulakan proses booking untuk menyewa rumah tersebut.

Booking dan Deposit Keselamatan

Apabila penyewa berminat dengan rumah tersebut, ejen hartanah akan sediakan booking form dan penyewa perlu membuat bayaran booking sebagai tanda setuju.

Selain itu penyewa perlu membayar deposit keselamatan mengikut persetujuan bersama. Kebiasaanya deposit keselamatan ini 2.5 bulan dari harga sewa rumah tersebut.

Surat Perjanjian Sewa

Ejen hartanah akan membantu menyediakan perjanjian sewa yang sah dan mengandungi semua syarat, harga sewa, deposit, tempoh sewa, dan butiran penting lain.

Pastikan surat perjanjian sewa dimatikan setem di pejabat LHDN dan salinan surat perjanjian diberikan kepada penyewa dan tuan rumah.

Serah Kunci

Ejen hartanah perlu serahkan kunci rumah kepada penyewa. Ini seterusnya menandakan tempoh sewa rumah tersebut bermula secara rasmi.

Ada juga tuan rumah atau penyewa minta kunci awal 1-2 minggu supaya proses pindah rumah dan kemasukkan barang boleh dibuat lebih awal.

Pemantauan

Selepas penyewa masuk ke rumah tersebut, bayaran sewa bulan seterusnya dibayar terus kepada tuan rumah. Dalam tempoh ini tanggungjawab ejen hartanah telah selesai secara rasmi.

Tuan rumah boleh juga merujuk ejen hartanah yang telah dilantik sebelum ini sekiranya sebarang masalah timbul.

Sekiranya tempoh sewa tamat, surat perjanjian yang baru perlu ditandatangan jika penyewa berminat untuk meneruskan sewaan di rumah tersebut.

Kesimpulan

Memilih ejen hartanah yang berkualiti dan berpengalaman adalah langkah penting dalam memastikan proses penyewaan rumah anda berjalan dengan lancar. Pastikan anda berbincang dengan ejen hartanah mengenai fi ejen dan syarat-syarat perkhidmatan mereka sebelum memutuskan untuk melantik dengan mereka.

Dengan bantuan ejen hartanah yang kompeten, anda dapat menguruskan penyewaan hartanah dengan lebih efisien.

Semoga panduan Cara Sewakan Rumah Menggunakan Ejen Hartanah ini membantu anda dalam proses penyewaan rumah anda.

Ejen Hartanah Berdaftar at IQI Realty | 0102261701 | Website | + posts

Ejen Hartanah Berdaftar, Perunding Kewangan Islam (FAR, IFP), Co-founder IQI iRealty Group

Leave a Reply

Your email address will not be published.